Setiap tahun pada 18 Oktober, Hari Menopaus Sedunia membawa tumpuan global terhadap cabaran kesihatan unik yang dihadapi oleh wanita pada usia pertengahan. Dianjurkan oleh International Menopause Society (IMS), hari ini bertujuan untuk mempromosikan kesedaran dan pemahaman tentang menopaus serta menekankan aspek penting dalam penjagaan kesihatan wanita di peringkat ini.
Tahun ini, tema Hari Menopaus Sedunia 2024 adalah “Terapi Hormon Menopaus (MHT)”. MHT, yang dahulunya dikenali sebagai Terapi Penggantian Hormon (HRT), merupakan rawatan yang digunakan untuk mengurangkan simptom menopaus dan melindungi kesihatan jangka panjang sesetengah wanita. Adalah penting bagi wanita untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai terapi ini semasa menghadapi perubahan yang berlaku semasa menopaus.
Apakah Terapi Hormon Menopaus (MHT)?
Terapi Hormon Menopaus melibatkan penggunaan hormon untuk meredakan simptom menopaus. Simptom ini termasuklah hot flush, berpeluh pada waktu malam, kekeringan faraj, dan masalah kencing, yang semuanya boleh menjejaskan kehidupan harian. Di Malaysia, MHT boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti tablet, gel, krim, serta tablet faraj, dan di sesetengah negara luar dalam bentuk tampalan atau cincin faraj. Tujuannya adalah untuk menguruskan perubahan hormon yang berlaku semasa menopaus dan melindungi kesihatan secara keseluruhan.
Siapa yang Patut Mempertimbangkan MHT?
MHT terutamanya disyorkan kepada wanita yang mengalami simptom menopaus yang mengganggu kualiti hidup mereka. Ia juga sesuai untuk wanita yang memasuki menopaus awal, iaitu sebelum umur 45 tahun, atau mereka yang mengalami Premature Ovarian Insufficiency (POI), di mana menopaus berlaku sebelum usia 40 tahun. Dalam kes ini, MHT memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan tulang, jantung, dan otak kerana wanita dalam kategori ini berisiko lebih tinggi untuk mengalami keadaan seperti osteoporosis dan penyakit jantung.
Namun, MHT tidak sesuai untuk semua orang, dan penilaian oleh profesional kesihatan adalah penting. Wanita dengan sejarah kanser payudara, darah beku, atau strok mungkin perlu mempertimbangkan alternatif rawatan kerana terdapat risiko kecil tetapi penting yang berkaitan dengan MHT.
Bila MHT Patut Dimulakan dan Dihentikan?
MHT boleh dimulakan dalam fasa perimenopaus apabila kitaran haid mula berubah dan simptom menopaus menjadi ketara dan mengganggu kehidupan harian. Bagi wanita yang mengalami menopaus awal atau POI, penting untuk memulakan MHT sejurus selepas diagnosis untuk melindungi kesihatan jangka panjang.
Bagi menghentikan MHT, tiada garis masa yang tetap. Keputusan untuk menghentikan terapi adalah peribadi dan perlu dibuat dengan berbincang bersama profesional kesihatan. Pertimbangan utama adalah mengimbangi manfaat kelegaan simptom dengan sebarang risiko kesihatan yang mungkin ada.
Mengapa MHT Penting?
Kepentingan MHT bukan sahaja untuk menguruskan kilatan panas atau berpeluh malam. Ia juga memainkan peranan dalam melindungi kesihatan tulang, membantu mencegah osteoporosis, suatu keadaan di mana tulang menjadi lemah dan lebih mudah patah. Beberapa kajian juga mencadangkan bahawa MHT mungkin menyokong kesihatan jantung dengan mengurangkan risiko penyakit jantung, walaupun ia tidak dilesenkan khusus untuk tujuan ini.
Walaupun begitu, MHT bukan untuk semua orang. Wanita yang menggunakan MHT mungkin menghadapi peningkatan kecil risiko untuk kanser payudara, darah beku, dan strok, tetapi risiko ini bergantung pada faktor kesihatan individu, jenis MHT yang digunakan, dan tempoh terapi.
Di Mana Anda Boleh Mendapatkan MHT?
Akses kepada MHT berbeza-beza bergantung kepada tempat tinggal anda. Di sesetengah bahagian dunia, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana, akses kepada MHT mungkin terhad. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk bercakap dengan profesional kesihatan yang memahami menopaus untuk memahami pilihan yang tersedia dan apa yang paling sesuai untuk kesihatan dan gaya hidup anda.
Kertas Putih IMS Mengenai MHT dalam Bahasa Malaysia
Bersempena dengan Hari Menopaus Sedunia, IMS telah menyediakan Kertas Putih yang komprehensif mengenai MHT dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Malaysia. Kertas putih ini merupakan sumber yang berharga untuk wanita, memberikan panduan berdasarkan bukti mengenai penggunaan MHT. Ia menekankan penyelidikan terkini dan amalan terbaik untuk menguruskan simptom menopaus serta meningkatkan kesihatan wanita pada usia pertengahan secara global.
Sempena sambutan Hari Menopaus Sedunia 2024, marilah kita teruskan usaha untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong dan memberi maklumat kepada wanita untuk menghadapi cabaran menopaus dengan lebih baik.
Untuk wanita di Malaysia, Kertas Putih ini kini boleh diakses untuk membantu anda membuat keputusan yang tepat mengenai MHT. Anda boleh mengakses versi Bahasa Malaysia di sini.
Atau baca Rumusan ‘5 Soalan Wajib MHT’ di sini.